Kadus Entertainment (KE), komuniti web portal yang ditubuhkan lebih lima tahun lepas yang mempunyai lebih 10,000 penyokong terdiri dari penyanyi, pemuzik, peminat serta penyokong industri muzik tempatan kini melangkah setapak maju ke hadapan dengan penganjuran KE Next Top Entertainer musim yang Ketiga (KENTE3) tahun ini sebagai usaha memartabatkan industri muzik di negeri di bawah bayu. Ini tidak mudah dicapai dan semua ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak sama ada penggiat seni, pemuzik, penyanyi mahupun peminat serta penyokong industri muzik tempatan yang tidak putus-putus memberi dorongan kepada KE. Selepas mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran, penganjuran KENTE1 dan KENTE2 yang lepas telah memberi banyak pengalaman kepada KE untuk berkembang lebih maju ke hadapan sehingga membolehkan KENTE3 dapat direalisasikan. Pada musim ini beberapa perubahan akan dibuat bagi mengangkat prestij pertandingan ini sesuai dengan objektifnya sebagai platform mencungkil bakat baru bagi mewarnai industri muzik tempatan. Selain itu, bagi memperbaiki mutu penganjuran, KE akan bekerjasama dengan badan-badan profesional untuk meminta bantuan serta khidmat nasihat seperti RTM dan UMS.
Bersesuaian dengan tagline ‘KE Next Top Entertainer’, KE bukan sekadar mencungkil bakat nyanyian tetapi lebih dari itu untuk melahirkan artis bergelar penghibur. Hakikatnya, industri muzik tempatan tidak akan berkembang sendirinya cukup hanya melahirkan penghibur tanpa tanpa ada bergandingan dengan komposer kerana keduanya sama penting bagai irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Menyedari kepentingan itu, KENTE3 membuka ruang seluas-luasnya kepada komposer-komposer tempatan untuk mengetengahkan ciptaan lagu Kadazandusun menerusi kategori Juara Lagu. Industri muzik tempatan mempunyai potensi besar yang masih belum diterokai sepenuhnya. Di sinilah bakat komposer-komposer tempatan akan teruji. Adunan resepi yang baik menampilkan nilai estetika tempatan sudah pastinya mampu menghasilkan produk berkualiti dan diminati. Atas harapan itu, dengan adanya pertandingan seumpama ini KE sebenarnya bukan sekadar mencungkil bakat nyanyian tetapi lebih dari itu memberi ruang dan peluang kepada komposer tempatan untuk digilap sekaligus meneroka jalan menuju ke puncak kegemilangan.




















