Digelar Fallen Voices semasa KENTE music kedua, Devreny diletakkan dalam Heat kedua yang dipenuhi oleh ramai penyanyi yang berbakat.
Devreny berjaya memikat para penonton yang hadir dengan gemersik suaranya namun malangnya beliau gagal untuk ke peringkat akhir walaupun diramal sebagai layak untuk masuk.
Namun begitu, bekas penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini tidak berputus asa ataupun kecewa dengan kegagalan tersebut namun mengganggap penglibatan dalam KENTE2 memberi peluang kepada beliau untuk melihat lebih luas industri seni di Sabah dan berpeluang untuk berkenalan dengan artis-artis Sabah dan juga para Sabahans yang berbakat besar dalam dunia seni. Dan yang paling penting, Devreny dapat merasakan KENTE banyak membawa perubahan kepada industri seni Sabah kerana banyak bakat-bakat baru yang dapat dicungkil.
Selepas KENTE, beliau semakin menggilap bintang kerjayanya dengan menerima undangan nyanyian. Di antaranya adalah terlibat secara aktif sebagai penyanyi separuh masa (part time) dan recording artist di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selain menjadi penyanyi Kombo Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) yang dikenali sebagai kumpulan H5N1.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para peserta yang telah mencabar diri masing-masing untuk menyertai KENTE3. Menang dan kalah adat pertandingan. Apa yang lebih penting adalah kita cuba untuk mengetengahkan bakat yang kita ada,” ujar Devreny di akhir perbualan dengan penulis.




















